Saturday, 21 May 2011

Siapa Tuhan?

Tuhan mempunyai 99 nama. Nama-nama ini disebut Asma al- Husna. Hampir semua orang sudah biasa mendengar alunan nama-nama Tuhan ini yang dijadikan dalam bentuk lagu. Ramai daripada kita yang menghafal 99 nama Tuhan. Kita selalu menyanyikanya sebelum perhimpunan bermula di sekolah dahulu.

Nama-nama ini bukan hendak menunjukkan Tuhan itu ramai. Tuhan itu cuma satu. Ia seperti kita menggelarkan orang dengan pelbagai panggilan.

Contohnya seseorang yang bernama Zakaria. Anaknya memanggilnya ayah dan isterinya memanggilnya abang. Rakan-rakan rapatnya memanggilnya sebagai Zak. Pekerja-pekerjanya di pejabat pula memanggil Zakaria sebagai Tuan kerana bos besar. Apabila dia balik kampung pula, orang memanggilnya Pak Ya. Tetapi semua panggilan itu merujuk pada orang yang sama.

Allah memberi banyak nama  lain bagi hari kiamat seperti Yaumul Hisab iaitu hari pembicaraan, Yaumul Akhir iaitu hari penghabisan, Yaumul Qariah iaitu hari keributan dan Yaumul Waqiah iaitu hari kejatuhan.

Allah juga begitu. Dia mempunyai banyak nama bagi menggambarkan sifat-sifatNya, bukan berbeza berbeza mengikut siapa yang memanggil. Nama-nama inilah yang kita perlu hayati sekiranya hendak mengenal Allah S.W.T.

Hal ini menerangkan sesuatu. pernahkah kita tertanya-tanya, mengapa Allah membahasakan diriNya sebagai 'kami' dalam Quran? Apa yang kita faham, kami itu adalah kata ganti diri yang pertama bagi ramai. Adakah Tuhan itu ramai?

Tuhan cuma satu. Ada orang mentafsirkan 'kami' itu sebagai mewakili Tuhan dan segala makhluk yang terdapat di langit, iaitu para malaikat. Tetapi ia sebenarnya tidak. Sebenarnya 'kami' merujuk pada 99 nama Allah. Dia menggunakan 'kami' kerana hendak mengingatkan kita yang dia adalah seperti 99 namaNya.

Abu Hurairah melaporkan yang Nabi Muhammad pernah berkata, " Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama. Siapa yang menghafalnya akan dimasukkan ke syurga".(Sahih Bukhari). Mudahnya hendak masuk syurga. Hafal 99 kalimah sahaja. Lebih mudah daripada menghafal fakta Biologi ataupun formula Prinsip Akuan. Tambahan pula, kita sudah biasa menyanyikan kalimah-kalimah itu semasa di sekolah.