Thursday, 1 December 2011

Masa dan Tempat sebagai Makhluk Tuhan

Jadi, di mana Tuhan? Tuhan itu Maha Pencipta. Dia yang menciptakan segala yang ada di bumi dan langit seperti manusia, gunung-ganang langit yang tidak bertiang, jin, malaikat, syurga dan neraka.

Tuhan juga pencipta kepada tempat dan masa. Jadi, tempat dan masa itu adalah makhluk Tuhan. Maka, apabila ditanya di mana Tuhan ataupun bilakah Tuhan itu wujud, kita tidak mempunyai jawapan yang sebenar. Tuhan tidak tertakluk pada tempat dan masa. Dia tidak ada di mana-mana kerana mana-mana jawapan bagi menanyakan sesuatu tempat. Tuhan tidak di sini kerana Dia tidak berjasad.

"kau solat berkiblatkan Kaabah. Adakah bermakna kau sembah Kaabah?" tanya seorang kawan yang bukan Islam.

"Tidak. Orang Islam bukan sembah Kaabah, tetapi sembah Tuhan."

Orang Islam solat menghadap ke Kaabah atas arahan Tuhan. Tuhan berkata dalam surah al-Haj, ayat 42 dengan maksudnya, "Dan (ingatlah), semasa kami memberikan tempat Ibrahim di Baitullah (dengan mengatakan), 'Janganlah kamu menyekutukan sesuatu pun dengan aku dan rumahku ini bagi orang-orang yang tawaf, beribadat dan orang-orang yang rukuk dan sujud.'"

Sebelum menghala ke Kaabah, Tuhan menyuruh orang Islam menunaikan solat menghala ke Masjidil Aqsa. Sekiranya kita dikatakan menyembah Kaabah, pastinya ada patung berhala di hadapan mereka setiap kali solat. Tetapi ia tidak pernah terjadi bahkan haram sekiranya orang Islam membuat pembaharuan itu. Jadi kita bukan menyembah Masjidil Aqsa ataupun Kaabah tetapi sebaliknya atas arahan Tuhan.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, seorang sahabat Nabi berdiri di atas Kaabah bagi melaungkan azan. Sekiranya Kaabah itu adalah sembahan orang Islam, adakah logik mereka berdiri di atasnya? Di dalam laporan Sahih al-Bukhari, Umar Al-Khattab pernah berkata semasa mencium Hajar al-Aswad, "Aku tahu engkau hanyalah sebiji batu yang tidak mampu memberi manfaat ataupun mudarat. Sekiranya aku tidak melihat Nabi Muhammad mencium engkau, aku pasti tidak mencium engkau."

"Jadi, adakah kita solat menghadap Kaabah itu maknanya Tuhan ada di sana?"

"Tidak. Tuhan tidak berjasad, jadi dia tidak di mana-mana. Tapi dia sentiasa ada bersama kita."

Kaabah itu rumah Tuhan. Rumah Tuhan ini bukan diduduki oelh Tuhan. Tuhan bersemayam di Arasynya. Ini adalah salah satu daripada sifat Tuhan. Kaabah adalah sebagai tanda penyatuan orang Islam kepada Tuhan yang satu.

Pernah dengar berkaitan Israk Mikraj? Nabi Muhammad dalam peristiwa Israk Mikraj dihantar ke Baitulmuqaddis, satu tempat yang sangat jauh dari tempatnya dalam satu malam. Semalamnya, beliau menunaikan solat Isyak bersama sepupu beliau, Ummi Hani tetapi kemudiannya sudah berada di tempatnya semula pagi esoknya.

Begitu juga dengan kisah sejarah mengenai tijuh pemuda yang digelar Ashabul kahfi. Raja zaman itu seperti Firaun mendakwa diri sebagai Tuhan dan memaksa semua rakyat mengakuinya. Pemuda-pemuda itu melarikan diri ke dalam gua kerana hendak menyelamatklan pegangan akidah mereka.

Tuhan menidurkan mereka dalam gua itu selama 309 tahun. Tetapi mereka tidak mati. Sekiranya mengikut logik, mereka sudah tinggal kerangka. Selepas mereka bangkit, zaman pemerintahan bertukar ke tangan pemerintah Islam. Mereka diselamatkan oleh kuasa Tuhan dengan masa.

Nyatalah masa itu memang fakta sains dan matematik. Tetapi disebabkan Tuhan itu Maha Berkuasa, masa menjadi tidak tetap ataupun lari daripada kebiasaan sekiranya Tuhan mengkehendakinya begitu.

Apa yang Disebut di dalam Al-Quran?

Tuhan itu sentiasa bersama kita dimana saja kita berada (Surah al-Hadid, ayat 4). Dalam Quran juga ada menyebut Tuhan itu sangat dekat dengan kita daripada urat leher kita sendiri (Surah Qaf, ayat 16).

Jadi, sebenarnya Tuhan itu sangat dekat dengan kita sehingga kita pun tidak nampak. Seperti juga apabila kita bertanya orang, di mana pen kita sedangkan ia terselit di telinga. Kita mempunyai mata tetapi kenapa kita tidak nampak pen yang ada fizikal itu? Ini kerana, mata juga ada batas gunanya.

Apa yang kita tahu berkaitan malaikat? Malaikat dan dunia diumpamakan seperti kita dengan sepinggan nasi. Besarkah kita sekiranya dibandingkan dengan sepinggan nasi? Bolehkah kita nampak segala-galanya dalam pinggan nasi itu? Tentu sahaja.

Malaikat melihat dunia begitu juga. Dia begitu besar sehingga dapat melihat dan memerhati kita tanpa apa-apa kesukaran. Apabila tsunami berlaku pada Disember 2004 yang lalu, kita mungkin terfikir bagaimana malaikat maut itu berlari ke sana ke mari bagi mencabut nyawa ramai orang?

Malaikat itu seperti operator TNB yang mempunyai suis utama di pusat kawalannya. Dia dapat mengawal banyak bekalan elektrik di kawasan perumahan sekali gus. Sekali tutup, terus terpadam semua.

Sekiranya malaikat sebagai makhluk Tuhan juga begitu, bagaimana pula dengan penciptanya?

Sudah lumrah manusia bergantung pada mata bagi mempercayai sesuatu. Nabi Musa sendiri juga meminta melihat wajah Allah bagi menambah keyakinannya pada Allah apatah lagi kita sebagai manusia biasa. Hakikatnya, pancaindera mata sahaja tidak cukup mengatakan Tuhan itu tidak ada hanya disebabkan kita tidak nampak.

Wujudkah Tuhan?

Kita sedar Tuhan itu wujud kerana itulah yang diberitahu kepada kita. Sejak dahulu, kedua-dua ibu bapa, ustaz dan ustazah di sekolah bercerita berkaitan Tuhan. Maka kita pun yakin Tuhan itu ada. Tidak pernah lagi dipersoalkan.

Tetapi, apabila kita bergaul dengan rakan-rakan bukan Islam dan mula bercerita mengenai Tuhan, kita terdiam seribu bahasa.

"Eh, mana Tuhan kau, ya? Aku tidak nampak pun?"

"Kami ada berhala, patung. Orang Kristian ada Jesus. Kau?"

Dalam kepala kita. "Eh, ustaz pernah cakap hal ini. Tetapi aku tidak yakin hendak terangkan semula."

Bagaimana sekiranya kita bertanya semula, "Di mana angin?" ataupun "Kau nampak lapar?"

Tuhan itu tergolong dalam 'sesuatu yang tidak dapat dilihat' ataupun abstrak. Terbukti apa yang kita tidak nampak tidak semestinya tidak ada, bukan?

Kenapa kita tidak nampak angin? Angin wujud daripada butiran zarah-zarah yang terlalu halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sekiranya kita belajar teori Gerakan Brown dalam subjek Sains di sekolah, kita tahu angin atau udara itu bergerak secara rawak.

Kita nampak zarah-zarah itu dengan bantuan mikroskop. Tanpa microskop, kita tidak nampak udara. Sedangkan udara pun kita perlukan alat bantu supaya dilihat, bagaimana pula dengan Tuhan, penciptanya?

"Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata sedang Dia dapat melihat segala penglihatan dan Dia-lah yang Maha Halus Dan Maha Mengetahui."(Surah al-An'am, ayat 103).