Dalam Islam, Tuhan itu agung. Dia satu-satunya yang mentadbir alam. Dia tidak mempunyai lawan. Bahkan iblis dan syaitan itu hambanya. Bukan seterunya, malah hamba yang hina.
Tuhan berkata dalam surah al-An'am ayat 100 yang bermaksud, "Orang-orang musyrik itu menjadikan jin itu sekutu baginya, padahal Tuhanlah yang menciptakan jin-jin itu".
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat percaya matahari menguasai siang dan bulan menguasai malam. Mereka juga menyembah api, petir dan unsur-unsur alam semesta lain. Tetapi selepas kedatangan Islam, manusia mula menyedari Tuhanlah yang menjadikan dan memusnahkan sesuatu. Hanya Dia yang mengawal semuanya.
Tanpa kita sedari, kita silap dalam mengaplikasikan konsep berpasangan itu. Kita menganggap Tuhan itu lawannya hantu. Hantu itu juzuk jahat dan Tuhan itu juzuk baik. Macam Yin Yang. Perlu ada dua-duanya barulah seimbang.
Kita mengatakan Tuhan itu mengawal baik dan hantu itu mengawal yang jahat. Sepatutnya Tuhan mengawal kedua-duanya tetapi kita memindahkan kuasa Tuhan kepada hambanya pula. Konsep berpasangan cuma bagi makluk yang diciptakannya. Tuhan tidak pernah sama dengan makhluk. Kerusi tidak sama dengan tukang kayu.
Hantu itu sebenarnya syaitan. Syaitan tidak dapat berbuat apa-apa pada kita tanpa izin Tuhan. Dia tidak dapat mencederakan, menyakiti apatah lagi memberi kesenangan kepada kita.
Kita pun tidak pasti sama ada hantu itu wujud ataupun tidak. Cuma diperhebatkan dalam filem-filem Timur dan Barat. Disebabkan cerita-cerita itu, kita menjadi takut pada hantu. Selepas menonton cerita hantu, pergi bilik air pun kena berteman. Bagi mereka yang tinggal di asrama, mereka menjadi takut berjaga malam bagi mengulang kaji pelajaran ataupun solat malam.
Ironinya, kita yakin dan percaya hari akhirat itu akan tiba tetapi tidak pernah takut dengan kehadirannya. Kadang-kadang, selepas mendengar cerita-cerita alam akhirat, kita menjadi takut juga sehingga mengalir air mata. Tetapi tidak pernah pula terjerit seperti menonton cerita hantu.
Kenapa? Ini kerana, itulah janji surah al-Ra'd ayat 28, "Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang." Kita mendengar segala cerita berkaitan hakikat kehidupan dan ketuhanan. Apakah yang kita rasa? Tenang. Ketenangan yang sukar diperoleh dari mana-mana.
Tuhan itu sumber segala-galanya. Hanya padaNya tempat kita meminta dan memohon pertolongan, bukan pada yang lain. Tidak ada kuasa ataupun Tuhan lain selain Dia. Penganut agama lain juga sembahyang tetapi mereka menyembah berhala dan berdoa pada nama-nama Tuhan yang lain. Hakikatnya, mereka tetap meminta daripada Allah.
No comments:
Post a Comment